Monday 12 March 2012


LAUTAN DAN LAUT DALAM


  Kemukjizatan Al-Quran merupakan suatu yang kekal sehingga Hari Kiamat, dan sesuatu yang boleh diketahui oleh semua manusia tanpa mengira sosio-budaya zaman, dan sejarahnya. Daripada Orang badwi di gurun sehinggalah kepada pensyarah universiti akan menemui sesuatu yang boleh memuaskan hatinya di dalam Al-Quran. 366033339_112a22a5a8.jpg
Kami perkenalkan kepada anda Profesor Dorja Rao, seorang pakar di bidang Kajian-Laut dan sekarang ini mengajar di Universiti Raja Aziz, Jeddah. Kami bertemu beliau dan membentangkan beberapa ayat-ayat Al-Quran yang mengandungi bukti-bukti saintifik. Beliau amat terkejut dengan apa yang beliau lihat dan dengar. Beliau membaca huraian Al-Quran dan ayat-ayatnya di dalam buku-buku khas. Beliau membincangkan satu daripada firman Allah di dalam Al-Quran:
"Atau (orang-orang kafir itu keadaannya) adalah umpama keadaan (orang yang di dalam) gelap-gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak bertindih ombak; di sebelah atasnya pula awan tebal;(demikianlah keadaannya) gelap-gelita berlapis-lapis- apabila orang itu mengeluarkan tangannya, ia tidak dapat melihatnya sama sekali. Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak dijadikan Allah- menurut undang-undang peraturanNya- mendapat cahaya (hidayah petunjuk) maka ia tidak akan beroleh sebarang cahaya (yang akan memandunya ke jalan yang benar)" (Surah An-Nur, 24: Ayat 40)
Profesor Rao mengesahkan bahawa kini ahli-ahli sains mengetahui kegelapan di dasar lautan dengan bantuan kapal selam yang membolehkan mereka turun ke laut dalam- manusia tidak mampu menyelam tanpa bantuan peralatan di kedalaman dua puluh hingga tiga puluh meter.
Penyelam mutiara menyelam di laut yang cetek dan mereka tidak boleh menyelam lebih dalam daripada itu. Manusia tidak dapat hidup di bahagian lautan yang gelap-gelita itu, seperti di kedalaman 200 meter. Dan ayat ini menghuraikan tentang fenomena kegelapan di dasar lautan ini. Firman Allah (maksud)"gelap-gelita di lautan yang dalam" tidak merujuk kepada semua laut, kerana tidak semua laut yang berkeadaan kegelapan yang berlapis-lapis sebegitu. Kegelapan berlapis-lapis yang ditemui di laut dalam disebabkan oleh dua faktor. Satu daripadanya ialah kerana ‘kehilangan’ warna yang berterusan, satu lapis demi satu lapis. Cahaya terdiri daripada tujuh warna-warna. Apabila cahaya menyentuh air, ia berpecah menjadi tujuh warna-warna.
Lapisan atas (10 meter pertama) menyerap warna merah. Justeru, jika seorang penyelam menyelam di kedalaman 30 meter dan dia terluka di situ, dia tidak akan dapat melihat darahnya disebabkan warna merah tidak sampai di kedalaman itu. Dengan cara yang sama, warna oren diserap di peringkat selepas 10 meter. Kemudian, di kedalaman 50 meter, warna kuning pula diserap. Pada kedalaman 100 meter, warna hijau diserap. Pada kedalaman 200 meter atau lebih, warna biru pula diserap. Begitulah seterusnya. Dari penerangan ini, kita dapat faham bagaimana lautan menjadi semakin gelap secara beransur-ansur. Dengan kata lain, kegelapan disebabkan oleh lapisan-lapisan cahaya. Untuk sebab kedua pula, kegelapan disebabkan oleh pemisah yang ‘menyembunyikan’ cahaya.
Sinaran cahaya berpunca dari pancaran matahari dan diserap oleh awan-awan yang kemudiannya menyebarkan sebahagian daripada pancaran cahaya itu menyebabkan kegelapan di bawah awan. Ini ialah lapisan kegelapan yang pertama. Kemudian apabila pancaran cahaya sampai di permukaan lautan, ia dipantulkan oleh permukaan ombak yang menyebabkan ombak nampak bersinar-sinar. Oleh kerana inilah, apabila ada ombak, kadar-sinarnya bergantung kepada sudut ombak itu. Justeru, ombaklah yang memantulkan cahaya dan menyebabkan berlaku kegelapan. Cahaya yang tidak dipantulkan akan masuk ke dalam lautan. Kita bahagikan lautan kepada dua lapisan utama: Permukaan dan lapisan yang dalam. Permukaan lautan dikenali berdasarkan cahaya dan suhunya yang suam, manakala lautan dalam pula dikenali berdasarkan kegelapannya.
Dua lapisan lautan ini berbeza dari segi bahan-bahan dan ciri-cirinya. Malahan permukaannya dibezakan lagi daripada laut dalam dengan adanya ombak. Ombak-ombak dalaman ini hanya ditemui oleh sains pada tahun 1900. Ahli-ahli sains telah menemui fakta ombak dalaman yang berlaku kerana pertemuan antara lapisan-lapisan yang tidak sama ketumpatannya. Ombak dalaman berlaku di laut dalam dan lautan disebabkan laut dalam mempunyai ketumpatan yang lebih tinggi daripada lapisan laut di atasnya. Ombak-ombak dalaman tidak dapat dilihat dengan mata kasar, tetapi mereka boleh dikesan dengan mengkaji perbezaan suhu atau kemasinan di beberapa lokasi.
Dibawah ombak yang memisahkan dua bahagian lautan, kegelapan bermula. Ikan di kedalaman ini tidak berupaya melihat. Sumber cahaya mereka hanyalah dari tubuh mereka sendiri. Kegelapan yang berlapis-lapis in dirujukkan di dalam al-Quran (maksud):
"....gelap-gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak bertindih ombak; di sebelah atasnya pula awan tebal;(demikianlah keadaanya) gelap-gelita berlapis-lapis..."
(Surah An-Nur, 24: Ayat 40)- Makna penuh, lihat di atas.
Dengan kata lain, di atas ombak-ombak ini masih ada lebih banyak lagi lapisan-lapisan ombak yang lain. Yang terkahir berada di pemukaan lautan. Al-Quran menegaskan bahawa kegelapan itu (maksud):
"...di sebelah atasnya pula awan tebal;(demikianlah keadaanya) gelap-gelita berlapis-lapis..."
(Surah An-Nur, 24: Ayat 40)- Makna penuh, lihat di atas
Kegelapan ini disebabkan oleh halangan-halangan yang telah dihuraikan tadi, disamping kegelapan yang disebabkan oleh penyerapan warna-warna di tahap-tahap kedalaman yang berbeza-beza.
Al-Quran seterusnya menerangkan:
"...apabila orang itu mengeluarkan tangannya, ia tidak dapat melihatnya sama sekali. Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak dijadikan Allah- menurut undang-undang peraturanNya- mendapat cahaya (hidayah petunjuk) maka ia tidak akan beroleh sebarang cahaya (yang akjan memandunya ke jalan yang benar)"
(Surah An-Nur, 24: Ayat 40) Makna penuh, lihat di atas.
Disinilah berlakunya kegelapan sepenuhnya sehinggakan kehidupan laut perlu membawa sumber cahaya mereka sendiri. Justeru siapa yang telah memberitahu Nabi Muhammad sallallahu’alaihiwasallam semua maklumat ini?
Kami bentangkan kepada Profesor Rao beberapa ayat-ayat Al-Quran yang membincangkan hal-hal berkaitan bidang yang dipakarinya. Kami bertanya:
"Apa pendapat tuan mengenai kewujudan maklumat-maklumat sains di dalam Al-Quran? Bagaimana Nabi Muhammad sallallahu’alaihiwasallam tahu mengnai fakta-fakta ini 14 kurun yang lalu?"
Jawab Profesor Rao:
"Susah untuk membayangkan maklumat sebegini wujud pada 1400 tahun yang lalu. Mungkin mereka ada beberapa idea ringkas mengenai beberapa perkara, tetapi untuk menerangkan perkara-perkara tersebut dengan terperinci adalah amat susah. Justeru, maklumat ini tentunya tidak bersumberkan pengetahuan manusia. Seorang manusia biasa tidak mungkin dapat menerangkan fenomena ini dengan terperinci. Justeru, saya berpendapat maklumat ini mesti datang daripada sumber yang luarbiasa (‘supernatural’)."
Ya benar, sumber maklumat sebegitu semestinya datang dari sesuatu yang hukan manusia. Ia tidak mungkin datang daripada makhluk, sebagaimana yang dikatakan Profesor Rao, tetapi sumbernya lebih daripada makhluk, dan jauh mengatasi kebolehan manusia. Apa yang Profesor Rao cuba terangkan ialah ini adalah suatu yang tidak boleh disumberkan kepada makhluk, disebabkan maklumat itu amat nyata datang daripada suatu yang tahu mengenai alam, cakrawala dan rahsia-rahsianya, sebagaimana yang Al-Quran tegaskan (maksud):
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Al-Quran itu diturunkan oleh Allah yang mengetahui segala rahsia di langit dan di bumi; sesungguhnya adalah Ia Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani"
(Surah Al-Furqaan, 25: Ayat 6).
Maklumat ini datangnya daripada Allah subhanahuwata’ala. Pengakuan-pengakuan ahli-ahli sains diketengahkan satu demi satu bertujuan untuk membuktikan kebenaran Al-Quran yang tidak boleh dipertikaikan, kerana Al-Quran adalah sumber hidayat dan petunjuk hinggalah ke Hari Kiamat.

2 comments: